Friday 12 November 2021

Random Thought

Tak tahu kenapa 
Adakah sebab pkp lama sangat
Atau stress
Semua benda aku taknak buat
Semua orang aku taknak jumpa
Semua kerja tak jalan
Dulu pandai bersosial
Sekarang katil dan bantal sahaja yg jadi peneman
Dulu aku yg sibuk kesana sini
Sekarang hanya terperap dalam bilik
Entah ke manalah perginya aku yg dulu

Ke sebab aku yg malas
Atau adakah ini istidraj?
Nauzubillah minta jauh.

Wednesday 14 June 2017

Cerpen2- Maaf kita kenal ke?


Kaki melangkah masuk ke bilik pendaftaran. Fail biru diserah kepada cikgu yang menjaga kaunter lalu senyuman dilempar tanda hormat.

"Aimy Syahirah?"

"Ye saya."

"Boleh saya tengok awak punya surat tawaran?" Tanya cikgu yang bernama Nora itu sambil mencatat sesuatu pada sehelai kertas. Borang barangkali.

    "Sekolah lama ambil jurusan apa?"

   "Sains tulen," jawab Aimy sambil tangan lincah mencari surat tawaran dalam beg sandang. Rasanya tadi dah masukkan dalam beg.

    "Cari apa?" Ayahnya bertanya.

    "Surat tawaran."

    "Eh, bukan ada dalam fail biru tadi ke?" Aimy garu kepala lalu tersengih. Ayahnya hanya menggeleng kepala.

    "Cikgu, surat tawaran saya ada dalam fail tu," tangan terarah ke fail biru yang diberikannya tadi. Fail itu terus diperiksa oleh cikgu tersebut.

    "Baiklah. Ini kelas, rumah sukan serta nombor dorm kamu. Ini pula senarai buku-buku yang diperlukan," Aimy menyambut huluran kertas dari cikgu tersebut.

    "Terima kasih cikgu.Lepas ni kami perlu ke mana ye?" Sampuk ayahnya.

   "Koperasi untuk beli barang-barang keperluan kemudian ke bilik SPBT untuk ambil buku teks."

    "Terima kasih cikgu."

    "Sama-sama. Selamat datang ke sekolah baru. Belajar rajin-rajin," balas Cikgu Nora ramah.
.................

    Surat tawaran di tangan dia tenung lama. Sesekali kedengaran keluhan dilepaskan. Suasana perpustakaan diperhati. Senyap. Sekali lagi surat putih itu ditenung. Memang tertulis sains sosial. Macam mana pula dia boleh tercampak ke dalam kelas aliran sains tulen. Dia berpindah ke sekolah ini pun sebab dapat tawaran untuk sambung dalam aliran sains sosial bukannya sains tulen. Sebenarnya dia bukanlah minat sangat pun nak sambung tingkatan empat dalam aliran sains sosial tapi mungkin sebab dia nak lari dari kena menghadap bio dan fizik,kali. Entah boleh terima ke alasan macam tu. Lantaklah. Lagi satu dia pindah ke sini mungkin juga sebab sekolah ini merupakan SBP. Mak dan ayahnya lagilah menggalakkan dia masuk bila dapat tahu sekolah itu juga merupakan sekolah agama. Hilang sikit perangai tak semengahnya ,kata mereka.

    "Tak boleh jadi ni," terus dia bangkit dari duduk. Bunyi geseran kerusi yang agak kuat membuatkan beberapa orang pelajar memberi jelingan maut kepadanya. 

Tanpa menghiraukan mereka, laju langkahnya menapak keluar dari perpustakaan. Sebaik sahaja keluar melepasi pintu perpustakaan langkahnya terhenti.

    "Aku nak ajak siapa ek jumpa cikgu? Semua orang tengah buzy dengan exam," fikir Aimy. Dia masuk ke sekolah itu semasa pelajar-pelajar di situ sibuk bertarung dengan peperiksaan pertengahan tahun. Sebab itulah tadi dia lepak dalam perpustakaan. Cikgu bagi pengecualian kepadanya untuk tidak ambil periksa. Lemah sahaja dia menyambung langkah. Bilik guru pun entah dekat mana letaknya. Dalam sibuk merayau tanpa hala tuju, matanya terpandang seorang pelajar lelaki sedang mengendong bungkusan-bungkusan kertas. Nampak macam kertas periksa. Laju sahaja Aimy mendapatkan lelaki tersebut.

"Exam habis dah ke?" Terus Aimy melontarkan soalan tanpa salam membuatkan pelajar itu terkejut. Muka Aimy ditenung kehairanan sebelum pelajar itu mengangguk.

    "Nak pergi bilik guru eh?" Tanya Aimy lagi sambil cuba menyaingi langkah pelajar tersebut.

    Angguk.

    "Saya pon nak ke bilik guru ni. Tapi tak tahu jalan. Mintak tolong tunjukkan jalan boleh?"

    Angguk lagi.

"Nak saya tolong tak? Macam berat je tu?" Aimy memandang bungkusan-bungkusan yang di bawa oleh lelaki itu. Apa salahnya menghulurkan bantuan. Lagi pula pelajar itu pun sedang tolong tunjukkan jalan. Win-win situation.

    Geleng. Lelaki itu senyum segaris memandangnya. "Sampai dah."

   "Oh," pintu putih di hadapannya dipandang. Lelaki itu terus melangkah masuk tanpa menghiraukannya. Aimy garu kepala. 
..........

    "Malunya!" Jerit Nadiah meluru masuk ke dalam kelas. 

"Kenapa?" Tanya Asma ingin tahu. Aimy yang sememangnya duduk di belakang Asma turut memasang telinga. Tertarik untuk mendengar.

    "Tadi waktu aku nak datang ke sini sajalah aku nyanyi lagu Sowtul. Macam mana entah Farish boleh ada kat situ. Dia terdengar aku nyanyi lagu kumpulan nasyid diorang dowh. Aku dengar dia gelak. Adoiyai mamat tu," adu Nadiah. Kemudian mukanya disembamkan ke meja.

   Asma lepaskan tawanya kuat. "Tu lah siapa suruh nyanyi kuat-kuat. Banding suara kau dengan katak, suara katak lagi sedap," balas Asma mengusik. Aimy hanya tersengih mendengar. 

    "Siapa Farish?" Tanya Aimy kepada Farah yang duduk di sebelahnya.

    "Budak Sowtul, geng nasyid sekolah kita," beritahu Farah.
.......

    Tangan kirinya cekap menekan kalkulator manakala tangan kananya sibuk menulis jawapan ke dalam buku latihan matematik tambahan yang diletak atas peha. Suasana hinggar di dalam dewan tak dihiraukan. Pada hari itu mereka satu sekolah berkumpul dalam dewan besar untuk meraikan persaraan guru penolong kanan hem sekolah mereka. 

   "Dijemput ahli kumpulan Sowtul membuat persembahan. Dipersilakan," Aimy masih tenggelam dalam formula theoreme phytagoras.

Tepukan gemuruh daripada para pelajar dan guru-guru bergema. Sememangnya persembahan daripada Sowtul amat ditunggu-tunggu oleh mereka. 

   Sebaik sahaja alunan lagu bergema, automatik tangan Aimy terhenti melakukan kerja. Formula yang berserabut memenuhi otaknya dari tadi entah hilang ke mana. Perhatiannya dialih ke hadapan pentas menyaksikan kumpulan nasyid lelaki sekolahnya itu beraksi. Gabungan suara dan bunyi percussion yang mantap itu telah memukau telinganya.

"Sedapnya suara diorang," bisik Aimy perlahan. Patutlah salah satu kebitaraan sekolah itu ialah nasyid. Teringat cerita Farhana yang sekolah itu pernah beberapa kali johan dalam peringkat kebangsaan.

Tiba-tiba matanya terhenti pada salah seorang ahli Sowtul di atas pentas itu. Pelajar lelaki yang berkaca mata itu menarik perhatiannya. "Macam kenal je," detik hati Aimy.

Lengan Nadhirah di sebelahnya perlahan dicuit.

"Kenapa?" Nadhirah angkat kening.

"Siapa tu? That specky one," Aimy menjuihkan mulut.

"Tengah nyanyi tu ke?" Tanya Nadhirah minta kepastian. Aimy hanya mengiyakan.

    "Farish."

    "Ohh," fikirannya mula menerawang teringat kembali akan pelajar lelaki yang pernah tolong tunjukkannya jalan ke bilik guru. Aimy menyembunyikan senyuman.

    "Dia ke Farish."
.........

   Meja yang bersepah dengan buku dan kertas dikemaskan. Barang yang tidak mahu dibawa balik ke asrama dia simpan dalam loker di belakang kelas. Kerusi dimasukkan ke dalam meja lalu beg digalas ke bahu. Aimy melihat Casio di tangan. Empat petang.

    "Aku balik dulu. Cioa," ucapnya kepada Nada dan Farhana yang masih leka menghadap buku. Mereka hanya melambai tangan tanpa mengangkat muka.

   Aimy ggeleng kepala melihat kesungguhan rakan-rakannya itu belajar. Keputusan akhir tahun baru saja keluar. Mungkin mereka tercabar dengan result masing-masing. Aimy angkat bahu. Baru dia teringat,  dia belum tengok lagi keputusan peperiksaanya. Kaki diatur menuju ke bilik peperiksaan. Senarai kepututusan para pelajar sudah dipaparkan di papan kenyataan di hadapan bilik itu. Waktu rehat tadi dia ada bercadang nak pergi tengok tapi sebab ramai sangat berkerumun di situ untuk lihat result masing-masing dia membatalkan niat.

   Dia merasa sedikit berdebar. Kelihatan dari jauh hanya dua tiga orang sedang tercongok di hadapan bilik peperiksaan. Laju sahaja dia mencari namanya sebaik sahaja tiba di situ.

    "Lapan puluh tiga. Aimy Syahirah. 7A. 3B. Alhamdulillah...."

    "Tapi 1F for addmath. Huh!" keluhnya perlahan. Geleng kepala. Tiba-tiba matanya terhenti pada nama di bawahnya.

   "Ahmad Farish. Lapan puluh empat," detik hatinya. Nama Farish itu ditenung lama. Senyuman kecil terbit di bibir.
.........

    "Jom pergi masjid," ajak Naillah.

    " Orite. Siapa sampai masjid dulu dia menang," sahut Aimy. Terus dia pecut laju menuju ke masjid.

    "Weh tunggulah! Tak aci," jerit Naillah tak puas hati. Dia pun lari mengejar Aimy.

   Termengah-mengah mereka berdua sebaik sahaja sampai ke masjid. Naillah mentertawakan  Aimy kerana kalah perlumbaan. Dia hanya mencebik.

    "Tu la lain kali jangan main tipu. Nak lawan dengan olahragawati," Naillah bemegah.

    "Huh,Yelah cik olahragawati!"

    Air yang dibawa bersama diteguk perlahan-lahan. Mereka lepak sebentar di belakang ruang masjid untuk hilangkan lelah. Jam di tangan dikerling sekilas. Baru pukul 6.45 petang. Awal lagi. Hanya beberapa kerat sahaja pelajar puteri dapat dilihat sudah sampai ke masjid. Sememangnya adat bagi para pelajar lelaki dan perempuan akan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di masjid sekolah itu. 

    "Mi, pinjam Quran kau," pinta Naillah.

    "Bukan main banyak lagi Quran kat rak tu. Al-Quran aku juga kau nak kebas en," balas Aimy. Naillah hanya tayang sengih kerang basi. Al-Quran yang dipegang Aimy bertukar tangan.

   "Aku pergi depan dulu tau," beritahu Aimy. Disebabkan kawannya itu menggunakan Al-Quran miliknya, Aimy ambil keputusan untuk mendengar tazkirah yang sedang disampaikan sementara menunggu waktu Maghrib masuk. Dia bergerak masuk ke ruang solat puteri lalu mengambil tempat di bahagian belakang ruang solat. Kelihatan adik-adik puteri tingkatan satu dan dua sudah memenuhi ruang hadapan solat puteri. 

    "Buka majlis dengan umul kitab Al-Fatihah."

    "Erk, macam kenal je suara ni," perhatiannya terus tertumpu ke hadapan masjid. Seorang pelajar lelaki bercermin mata serta berbaju melayu biru sedang menyampaikan tazkirah. Aimy cuba mengawal riak mukanya biar tak nampak terlalu teruja.

    "Aduhai hati,kenapalah engkau berdebar tiba-tiba ni," omel Aimy. Aimy cuba memadamkan rasa yang muncul di hatinya itu.

    Tazkirah yang disampaikan didengarinya dengan penuh minat. Maklumlah Farish yang sedang bertazkirah di hadapan sana tu. Matanya tak lekang daripada memerhatikan Farish. Perhati dari jauh bolehlah.

   "Hah, ni tengah dengar tazkirah ke, tengah usyar cik abam. Jaga sikit pandangan tu," sergah Naillah yang entah bila duduk di sebelahnya itu. Sengaja nak mengusik. Satu hempukkan dikenakan ke kepala kawannya itu.

    "Adoi, sakitlah!"

    "Padan muka. Kacau lagi orang tengah khusyuk dengar tazkirah," balas Aimy lalu menjelir lidah. Cuba menutup malu.

    "Ye lah. Maafkan hamba penunggu gua," kata Naillah sambil menggosok kepalanya yang dibaluti telekung itu. 

    Malas nak melayan kerenah Naillah, dia mengalihkan perhatiannya kembali ke hadapan masjid.

   "Alaaa, Farish dah habis bagi tazkirah," rungut Aimy dalam hati. Dia menjeling Naillah tak puas hati.

    "Kenapa," tanya Naillah dengan muka yang tak bersalah.

    "Quran aku mana?" Sengaja Aimy bertanya menahan geram.

    "Ada kat belakang. Kau nak ke? Kejap aku pergi ambik," Naillah berlalu pergi mendapatkan Al-Quran Aimy di belakang masjid. Tazkirah yang diberikan oleh Farish telah diganti dengan tazkirah daripada ketua umum. Dengar jelah.

    "Nah. Thank you bagi pinjam. Muah cikit," Naillah menghulurkan Al-Quran. Aimy hanya geleng kepala. Biasa dah dengan perangai mengada budak seorang ni.

   "Hensemnya KU kita ni," baru sahaja Aimy nak membuka Al-Quran, kedengaran Naillah di sebelahnya bersuara. Terangkat keningnya melihat muka gatal kawannya itu. Ketua umum yang sedang berdiri di hadapan masjid itu dikerling.Cis,siapa yang tak jaga pandangan sekarang ni. 

    "Jaga sikit pandangan tu."
........

   "Macam mana exam?" Kedengaran suara Farid bertanya dari corong telefon. Sebaik sahaja keluar dari dewan peperiksaan terus Aimy mendapatkan telefon awam di tepi kantin. Cari tempat nak mengadu.

    "Along!! Huwaaa, susah!!" Adu Aimy pada abang sulungnya itu. Matanya terasa mula bergenang.

    "Alaahai kau boleh jawabkan? Kau kan pandai."

    "Alhamdulillah jawab memanglah boleh. Tapi tak tahulah betul ke tak," balas Aimy. Monyok.

    "Okey la tu. Kau dah usaha. So sekarang tawakal je pada Allah and doa banyak-banyak."

    "Hrmm."

    "Tinggal lagi berapa paper?" 

    "Satu. Last paper. Ekonomi asas". Sedar tak sedar, sudah dua tahun dia bersekolah di situ. Peperiksaan SPM pun sudah hampir ke penghujungnya. Mesti dia akan rindu suasana alam persekolahan selepas habis sekolah nanti. 

Selesai berbual dengan Farid, Aimy naik ke kelasnya untuk ambil buku latihan yang diperlukan. 

    "Wow, Farhana kau tengah bina bangunan KLCC ke apa ni?" Sapa Aimy sebaik sahaja masuk ke dalam kelas. Kelihatan helaian kertas dan buku-buku bertimbun meninggi di atas meja Farhana.

    "Hesyy, aku tengah kemas baranglah ni. Minggu depankan dah nak balik. Wuii tak sabarnya nak habis exam! Nak balik!!" Balas Farhana sibuk mengemas barang-barangnya.

"Jangan lupa kita ada lagi satu paper," sampuk Nada. Aimy hanya menggeleng kepala.

    "Weh, petang ni jom kita pusing-pusing jelajah satu sekolah. Lepas habis exam nanti semua dah ke haluan masing-masing. Bilalah lagi kita boleh kumpul luangkan masa bersama. Time nilah kita kena menikmati saat-saat terindah kita bersama kat sekolah ni. Bukannya asyik fikir pasal balik je," ajak Nada.Sempat dia lagi mengusik Farhana.

    "Hesyy kau janganlah nak start buat drama air mata kat sini pula. Yelah, yelah. Okey aku on. Jangan lupa ajak geng yang lain," Farhana setuju.

    Tiba- tiba Aimy teringat tadi dia ada berjanji dengan Naillah untuk jumpa kat kantin pukul sebelas pagi. Kalut dia pandang Casio di tangan. Dah lambat lima minit. Habislah kena bebel dengan mak cik tu kejap lagi.

    "Weyh korang aku gerak dulu," terus beg dicapai lalu melangkah laju keluar dari kelas.

    "Kau join kitorang tak petang ni?" Kedengaran Nada dan Farhana bertanya serentak.

    "Join, join," laung Aimy yang sudah menuruni tangga.

    "Uisy apa ni anak dara terjerit-jerit," tegur Ustaz Fauzi yang sedang duduk menyarung kasut di kerusi batu hadapan surau. Surau itu memang terletak berseberangan dengan tangga yang dia turun tadi. 

    "Maaf ustaz," Aimy tersengih garu kepala. Baru dia perasan Farish juga turut berada di situ. Khusyuk mengikat tali kasutnya di sebelah Ustaz Fauzi. Mereka baru selesai solat sunat Dhuha kali. Aimy gigit bibir menahan malu. Terus dia berlalu menuju ke kantin.
..........

"Akak bagi saya Paratha Cheesy Bbq Chicken satu. Tak nak bawang," pesan Aimy. 

    Peniaga di kedai kuning itu cekap menyiapkan makanan yang telah dipesan tadi. Iphone dikeluarkan dari poket sweater. Laman instagram dibuka sementara menunggu pesanan siap. Dalam leka stalk akaun kawan-kawannya, tiba-tiba satu notification whatsapp masuk tanda ada orang menyapanya.

    Huii buat apa tu? -Farhana

    Haii mana salam? -Aimy

    Hehe ada kat sebelah ni. -Farhana

    ....... -Aimy

    Yelaa yelaa, assalamualaikum wbt ya ukhti. -Farhana

    Wassalam wbt. Hah nak apa ws? -Aimy

    Amboii garangnya. Haha rindu hang laa. -Farhana

Matanya di juling ke atas. Dah kenapa dengan minah ni.

    Yelah tu. Tiga hari lepas baru je otp de ngan kau. Blah laa. Daripada aku berbalas ws dengan engko, baik aku ws pakwe aku. -Aimy

   Eleh, crush pon tak de, ada hati nak ws ngan pakwe. Eh cakap pasal crush-crush ni, kau ade dengar tak pasal crush aku? -Farhana

   Engkau semua orang kau nak crush. Siapa? Yang mana satu? Banyak sangatlah crush kau dulu. -Aimy

Hesy aku setia orangnya laa. Alaa si Farish. Ingat tak, budak Sowtul. -Farhana

Kening sebelahnya terangkat. Tertarik membaca whatsapp daripada Farhana.

    Nape? -Aimy

   Minggu depan dia dah nak fly ke Russia. Study medic kat sana. Huhu Bestnya dia dapat study oversea. -Farhana

    "Dik paratha nya udah siap," panggil peniaga tadi dengan loghat Indonesia.

    "Oh ok terima kasih kak," ucap Aimy lalu membuat bayaran. Kemudian dia menapak laju menuju ke hostel. Khabar yang disampaikan oleh Farhana tadi berlegar-legar mengganggu fikirannya membuatkan dia kehilangan mood untuk belajar di library.
........

"Along, free tak esok?" Soalan terus diajukan sebaik sahaja talian bersambung.

    "Huh? Kenapa?"

    "Teman aku pergi KLIA."
.........

    "Sampai dah. Tak nak keluar ke?," ujar Farid. Aimy diam tak bergerak dari tempat duduknya. Sudah lebih lima minit mereka bertapa di dalam kereta. Aimy masih lagi tak menunjukkan tanda-tanda untuk keluar dari kereta. Farid hanya geleng kepala memerhatikan tingkah laku adiknya itu.

"Kenapa?" Tanya Farid. Sengaja bertanya untuk menyedarkan Aimy daripada termenung. Sememangnya dia dah tahu akan tujuan adiknya ke situ.

Keluhan berat dilepaskan. Matanya dipejam rapat berfikir samada tindakannya itu betul ke tidak. Sekian lama dia memendam rasa sendirian, inilah masanya Aimy luahkan perasaanya. Tapi betul ke? Macam mana pula dengan reaksi Farish nanti. Dia ragu-ragu. 

    "Arghh," rengus Aimy. 

    Ray band dia pakai menutupi matanya lalu Hoodie sweater birunya pula ditarik kehadapan menutupi wajah. Sengaja dia berpakaian sebegitu supaya tak ada siapa yang perasan kehadirannya di situ terutama sekali kawan satu sekolah dengannya. Niatnya hari itu cuma satu. Nak meluahkan perasaan yang dah lama dia pendam.  Dia nekad. Pintu kereta di buka lalu dia keluar melangkah masuk ke dalam airport.

"Woii tunggulah!" laungan Farid  di belakang tak dihiraukan. Laju langkahnya menapak mencari Farish. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang. Semalam dia ada bermesej dengan Arif. Sepupunya itu beritahu, Farish punya penerbangan pada pukul 5.30 petang.

Dalam sibuk mencari, tiba- tiba dia terlanggar seorang lelaki. Mukanya terhantu pada lengan lelaki itu Habis cermin matanya senget sebelah. Terasa mata belah kanannya sakit tercucuk cermin mata sendiri dek terlanggar dengan orang. Sakit. Terus Ray Band tersebut ditanggalkan lalu matanya digosok perlahan. 

    "Maaf. Awak tak pape?" Lelaki yang berlanggaran dengannya tadi bertanya. Prihatin. Tangan Aimy yang duk sibuk menggosok mata dari tadi terhenti. Badannya turus kaku tak bergerak. Suara ni.

    "Awak okey?" Lelaki tersebut bertanya sekali lagi kepada Aimy yang masih lagi tak menunjukkan sebarang riaksi.

   Angguk. Aimy mengangakat wajahnya perlahan-lahan. Muka lelaki itu dipandang. "Farish.." Tanpa  sedar dia menyebut nama lelaki itu. Beg kertas di tangan yang berisi topi di dalamnya itu dia bawa memang untuk Farish terus dihulurkan kepada jejaka itu. Automatik. Kelihatan kening Farish terangkat sebelah. Terkejut campur pelik kali. Dia memandang Aimy lama. Kemudian raut wajahnya kelihatan serba-salah.
   
    "Maaf kita kenal ke?"

.................

Rasa cinta
Adalah satu anugerah tuhan pada hambaNya
Dan kerananya manusia sanggup apa saja
Asalkan dia memiliki apa yang dicita
    Earphone di telinga sedang memainkan lagu In Team. Cintailah Ilahi.  Farid di sebelah sedang fokus memandu.
Kerna cinta
Sanggup berkorban apa saja, harta dan nyawa
Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta
Ingin bersama sepanjang masa
    Keluhan dilepaskan berat. Badannya tersandar lemah manakala matanya dipejam rapat.

Tetapi pastikah cintamu dihargai
Mungkinkah si dia kan tetap setia
Setelah kau serahkan jiwa dan ragamu
Mungkinkah kau pastikan tidakkan dihancurkan
   Perasaan Aimy sekarang bercampur-baur. Marah. Geram. Malu. Semua ada. Terasa cintanya ditolak mentah-mentah. Huh, ditolak apanya  confess pon tak. Ayat yang keluar dari mulut Danish sebelum dia blah dari situ masih tergiang-giang.
   "Maaf kita kenal ke?"
   What the.. Dia tak kenal pon aku!! Bodohnya kau Aimy. Dia tak kenal pon engkau. Aimy senyum kelat.

Jika engkau mencintai bunga
Sedarlah engkau bunga itu akan layu
Jika engkau cintakan manusia
Sedarlah suatu hari dia akan pergi
Jika engkau mencintai harta
Harta itu nanti kau akan tinggalkan
Jika engkau cintakan Ilahi
Hanya Dia yang akan kekal abadi
Cintailah Ilahi
Cintailah Ilahi.. cintailah Ilahi
Itu cinta hakiki..cintailah Ilahi
Cinta kekal abadi..cintailah Ilahi
  Dia tersedar. Rasa malu mulai mengusai diri. Cinta. Apa itu cinta? Sebenarnya kita kena mengejar cinta atau menanti cinta? Persoalan mula mengasak minda manakala ego cuba menidakkan rasa malu.
"Salah ke kalau perigi cari timba?" Aimy menyoal Farid di sebelah.
    "Tak," Farid terhenti seketika menyusun kata.
  "Ingat kisah Saidatina Khadijah? Dia yang mulakan langkah merisik Nabi dulu," sambung Farid. "Tapi..dengan mengguna pengantaraan," Farid menambah. Perkataan tapi sengaja dia tekankan.
   "Salah ke kalau kita cintakan seseorang?" Tanya Aimy lagi.
    "Cinta itu fitrah tapi kalau kita tak kawal boleh jadi fitnah."
    "Salah ke tindakan aku tadi?" Ego masih menguasai diri.
    "Kurang manis mungkin",balas Farid menjaga hati adiknya. Jawapan yang sama dia berikan semasa adiknya bertanya padanya soalan yang sama semalam. Habis segala 'macam mana kalau' dia keluar untuk menyenaraikan akibat perbuatan adiknya itu. Sememangnya kekerasan dan ugutan bukanlah cara dia menegur. Dia mengaku kalah bila nasihatnya tidak diendahkan semalam. Moga kejadian tadi mampu buat Aimy sedar. Biasalah manusia, kadang-kadang bila dah terkena batang hidung sendiri baru nak terngadah.
    "Tak gunakan aku ni. Harap je dulu sekolah agama."
    "Hesyy apa cakap macam tu. Kau punya ayat kalah orang dah terlanjur. Farid geleng kepala. "Mana ada rules yang kata Syaitan tak boleh hasut budak sekolah agama. Asal anak adam je, semua diorang rembat hasut."
   Diam. Pemandangan di bahu jalan dipandang sejenak. Pandangannya terasa mulai kabur.
    "Along," Panggil Aimy perlahan.
"Hmm."
"Salah ke kalau aku nangis sekarang?" Air mata Aimy terus keluar berjejeran sebaik sahaja soalan itu keluar dari mulut. Terasa tangan Farid merangkul bahunya dengan sebelah tangan lalu menarik merapatinya. Kepalanya disandar ke bahu Alongnya itu.
  "Allah itu kekal sama juga dengan cinta Dia. Cinta Dia tak pernah mengecewakan. Cuma kita saja yang selalu mengecewakan Dia," bisik Farid perlahan.
….……………….

Kening sebelah sengaja diangkat. "Apahal?" Soalan itu dituju kepada Farid yang dari tadi tersengih-sengih memandangnya. Tangannya sibuk menambah gula ke dalam bekas tong air sirap.

"Orang Kursk. Ada kat sini," ayat yang keluar dari mulut abangnya itu membuatkan dia terhenti mengacau air sirap.

….………………..

 "Ira. Abi panggil," Farish memanggil Aimy yang sedang khusyuk membaca novel di ruang tamu.

"Kenapa?" Muka Farid dia pandang. Abangnya itu sengaja mengangkat keningnya dua tiga kali. Dah kenapa mamat ni sengih sampai ke dahi. Makin tertanya-tanya dia dibuatnya.

"Abi kat mana?"

"Dalam bilik bacaan dia." beritahu Farid yang masih lagi tak berhenti tersengih. Malas nak menghadap sengihan Farid, dia bangun daripada sofa lalu melangkah menuju ke bilik bacaan ayahnya.

"Abi panggil Ira?" sapa Aimy sebaik sahaja masuk ke bilik itu. Dia melabuhkan duduk di hadapan meja kerja menghadap ayahnya.

Pak Akob melemparkan senyuman kepada anak perempuannya itu. "Dah besar dah anak abi ni," Pak Akob memulakan bicara.

Aimy hanya membalas senyuman ayahnya. Dia ternanti-nanti apa topik yang ayahnya itu mahu bualkan dengannya. Macam serius saja gayanya.

"Ira kenal Farish?" Soalan itu membuatkan dia terdiam seketika. Kenapa tiba-tiba cakap pasal lelaki tu pulak ni. Perlahan-lahan Aimy mengangguk.

Pak Akob mengeluarkan sekeping kertas yang dilipat dua dari dalam laci mejanya. Kemudian dia serahkan surat itu kepada Aimy. "Abi sentiasa sokong setiap keputusan anak-anak abi," ringkas sahaja Pak Akob berkata sebelum surat itu diserahkan kepada Aimy.

"Surat apa ni abi? Siapa yang bagi?" Aimy masih blur.

"Farish."

….……..

Cinta itu banyak tafsirannya.
Cinta seorang hamba kepada Tuhannya,
Cinta seorang anak kepada kedua orang tuanya,
Cinta si ayah kepada anak-anaknya,
Cinta si kaya kepada hartanya.
Cinta si penuntut ilmu kepada ilmuNya

Maafkan saya sebab dulu saya pernah abaikan perasaan awak demi mengejar cinta saya terhadap cita-cita saya. Menabur harapan palsu lagi-lagi pada perempuan yang belum tentu akan jadi milik saya, itu bukanlah cara saya. Saya tak nak jadi lelaki yang hanya pandai memainkan perasaan seorang wanita. Bak kata ayah saya wanita itu untuk dilindungi, bukan untuk dipermainkan.

Sekarang cita-cita saya sudah saya capai. Izinkan pula saya mengejar cinta awak. Ye saya tahu saya tak delah macho mana tapi sudi tak awak menjadi milik saya sebagaimana dulu sudinya awak beri topi milik awak, menjadi milik saya?

Yang benar,
Si pemilik topi nike hitam, Farish.


Entah kali keberapa dia membaca isi kandungan surat itu. Setiap kali itulah senyuman kecil terukir di bibirnya. Aimy mendongakkan kepalanya ke langit. Langit dihiasi dengan kerlipan-kerlipan bintang. Encik bulan juga turut menampakkan dirinya menerangi kegelapan malam.

"Lawa bulan malam ni," ujar Farid. Kakinya setia mengayun buaiyan yang sedang dia naiki. Aimy di sebelah hanya angguk mengiyakan.

"So?" Tanya Farid tiba-tiba.

"So?" Aimy mengajuk kembali pertanyaan itu sengaja pura-pura tak faham.

Anak mata dinaikkan ke atas. Buat-buat tak faham pula budak sorang ni. Farid menjeling surat di tangan Aimy. "Are you sure with your decision?"

"Pretty sure," balas Aimy. Muka Farid dia pandang. "Do you expect me to answer those question like that?" Sambung Aimy tak berperasaan.

"Why not?" Balas Farid pula sarkastik.

"Gila," Aimy mencemik muka. Kedengaran Farid ketawa.

"Dah tu kenapa setuju?"

Soalan itu membuatkan Aimy termenung panjang. Mimpinya malam semalam kembali menjengah ingatan. Dia bermimpi ada seseorang memakaikannya topi. Nike hitam.

 "Istikharah mungkin," jawab Aimy lalu tersenyum penuh makna.
….………..


Aiman leka berenang dengan Farid di dalam kolam renang. Kecoh suara mereka berdua bermain air. Aimy hanya melihat dari tepi. Bukannya tak nak sertai mereka berdua tapi sebab malu. Lagi-lagi sekarang mereka kat rumahFarish.

"Boleh saya duduk sini?" Sapa seseorang. Aimy mengangkat wajah melihat si empunya badan yang menegurnya itu. Farish. Perlahan Aimy mengangguk kepalanya sebelum mata dilarikan semula ke arah kolam. Janggal.

Abi dan umminya ada di dalam rumah sedang berbual dengan orang tua Farish. Hari tu ayahnya membawa mereka sekeluarga melawat keluarga Farish. Nak bincang pasal persiapan majlis perkahwinan katanya.

"Tak join orang kat dalam bincang? Tak kesah ke kalau diorang yang pilihkan tema dan baju kahwin semua tu?" Tanya Farish memulakan bicara.

"Saya ikut je," sengih Aimy. "Awak?"

"Tak reti," balas Farish garu kepala. Aimy tergelak mendengar jawapan Farish.

Lama mereka diam. Tak tau nak cakap apa. Aimy perasan je si Farid kat dalam kolam tu dari tadi duk sibuk pandang-padang ke arah mereka berdua yang tengah lepak kat tempat santai ni tapi dia buat dek je. Malas nak layan alongnya yang menyibuk tu.

"Thanks," ucap Farish tiba-tiba memecah sunyi.

"Untuk?"

"Terima saya yang tak berapa nak macho ni," jawab Farish sarkastik.

Melebar senyuman Aimy mendengar jawapan Farish. "No biggie." Tangannya sibuk bermain dengan cincin di jari. "Cuma saya ada satu soalan."

"Apa dia?"

Aimy tersengih melihat Aiman sedang menarik rambut Farid. Kemudian matanya dialihkan ke muka Farish. Memerhatikan wajah lelaki itu.

"Kita kenal ke?" Soalan itu membuatkan mereka saling berpandangan. Kening sengaja Aimy angkat dua tiga kali sambil tayang sengih mengusik.

"Ouch," balas Farish membuatkan serentak mereka berdua tertawa.